Year: 2024
Type: article
Abstract: Ibn al-Qayyim merupakan salah seorang tokoh hadis yang menonjol pada abad ke 8 Hijrah. Kesarjanaan Ibn al-Qayyim dalam mengutarakan kritikan terhadap hadis terutamanya pada sudut matan telah menjadi topik perbahasan yang rancak dalam kalangan ilmuwan hadis sejak abad ke 10 Hijrah sehingga zaman moden kini. Justeru, kajian ini meneliti tentang manhaj kritik matan hadis Ibn al-Qayyim menerusi kitab beliau yang berjudul al-Manār al-Munīf. Biografi ringkas Ibn al-Qayyim turut dinyatakan. Kajian ini menggunakan metodologi kajian kepustakaan. Setiap data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan metode induktif dan analisis kandungan. Kajian mendapati empat kriteria utama yang penting di sisi Ibn al-Qayyim dalam aplikasi kritik matan hadis. Dapatan kajian ini diperolehi daripada analisis jawapan Ibn al-Qayyim terhadap soalan yang ditujukan kepada beliau mengenai kemungkinan mengenal hadis palsu secara pasti tanpa dimulai kajian menerusi sanad. Hasil penelitian daripada kajian menunjukkan kriteria penting di sisi Ibn al-Qayyim dalam manhaj kritik matannya adalah matan hadis mengandungi perumpamaan melampau, matan hadis bercanggah secara jelas dengan akal, matan hadis mengandungi ketetapan tarikh-tarikh tertentu dan matan hadis berunsur petua-petua ganjil dalam perubatan. Kajian ini membawa implikasi positif dalam mendepani penyebaran hadis palsu dalam kalangan masyarakat yang semakin menular mutakhir ini. Harapan kajian adalah dapat menambah sumbangan kepada perbendaharaan ilmu tentang kajian kritik hadis secara khusus di samping membantu umat Islam bersikap lebih berhati-hati menerima hadis Nabi SAW lalu menyebarkannya tanpa semakan bagi memelihara kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi dalam agama Islam.
Source: Jurnal Pengajian Islam
Authors: Nur Muhammad Anas Mohd Razak, Mohd Arif Nazri
Institution: National University of Malaysia
Language: Malay
Subfield: Religious studies
Field: Arts and Humanities
Domain: Social Sciences
Open Access status: hybrid
OpenAlex ID: W4404931885
