Work

Demografi sebagai moderator ke atas pengaruh gaya kepemimpinan guru besar dan kompetensi ICT terhadap motivasi aplikasi e-pembelajaran guru sekolah rendah terpilih di Malaysia

Year: 2024
Type: dissertation
Study design: Observational Study
Abstract: Pelaksanaan e-pembelajaran dalam sistem pendidikan telah berkembang pesat, khususnya di sekolah, selaras dengan reformasi pendidikan yang semakin maju. Kajian ini mengkaji pengaruh gaya kepemimpinan guru besar, iaitu transformasional dan instruksional, serta kompetensi ICT guru terhadap motivasi guru dalam mengaplikasikan e-pembelajaran. Selain itu, kajian ini menganalisis demografi guru, termasuk jantina, pengalaman mengajar, dan kelulusan akademik, sebagai moderator kepada motivasi guru. Kajian ini melibatkan 480 orang guru daripada 38 sekolah rendah di Melaka, Negeri Sembilan, dan Johor, menggunakan reka bentuk kuantitatif deskriptif korelasi. Data dikumpulkan melalui soal selidik MLQ (Multi Factor Leadership Questionnaire), Principal Instructional Management Rating Scale (PIMRS) untuk gaya kepemimpinan, dan soal selidik kompetensi ICT diadaptasi berdasarkan model TPACK. Tahap motivasi guru pula diukur menggunakan instrumen yang diadaptasi berdasarkan model TAM. Analisis data menggunakan kaedah statistik seperti kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, ANOVA, analisis korelasi Pearson, regresi, dan analisis SEM multi-model melalui AMOS. Dapatan menunjukkan bahawa gaya kepemimpinan transformasional dan instruksional guru besar serta motivasi guru adalah pada tahap tinggi, manakala kompetensi ICT guru berada pada tahap sederhana. Analisis SEM mengesahkan bahawa gaya kepemimpinan guru besar dan kompetensi ICT guru memberi pengaruh dan kesan langsung terhadap motivasi guru, dengan kedua-dua faktor menyumbang 62.1% kepada varians motivasi. Kajian ini mendapati bahawa kepemimpinan transformasional dan instruksional guru besar serta kompetensi ICT guru memainkan peranan penting dalam meningkatkan motivasi guru untuk melaksanakan e-pembelajaran. Selain itu, demografi seperti jantina dan kelulusan akademik bertindak sebagai moderator ke atas hubungan antara kompetensi ICT guru dan motivasi mereka, manakala demografi tidak bertindak sebagai moderator ke atas hubungan antara kepemimpinan guru besar dan motivasi. Oleh itu, disarankan agar Kementerian Pendidikan memberi tumpuan kepada program pembangunan profesional yang memperkukuh kompetensi ICT guru mengikut ciri demografi mereka. Kajian ini menekankan pentingnya gabungan kepemimpinan, kompetensi ICT, dan faktor demografi dalam mengoptimumkan pelaksanaan epembelajaran. Memartabatkan Kepemimpinan Guru Besar, Memperkukuh Kompetensi ICT Guru, Memperkasakan Motivasi Guru.
Language: English
Subfield: Education
Open Access status: green
OpenAlex ID: W7162059862
Cites: 261
Cited by:
Related to: 10