Work

Kesan enkapsulasi dan salutan hidrokoloid terhadap kemandirian Lactobacillus acidophilus semasa pengeringan sejuk beku dan dalam keadaan simulasi jus gastrik dan jus usus

Year: 2016
Type: dissertation
Abstract: Kajian ini bertujuan untuk menguji kesan enkapsulasi dan penyalutan Lactobacillus acidophilus La-05 dengan menggunakan hidrokoloid yang berlainan, dan dalam pelbagai salutan terhadap kemandiriannya semasa mengalami proses pengeringan sejuk beku, pendedahan kepada simulasi jus gastrik (SGJ) dan jus usus (SIJ) secara berurutan. Tiga jenis bahan manik telah digunakan, iaitu (1) karagenan kappa (CGN), (2) pektin bermetoksil rendah (LMP), dan (3) campuran karagenan dan pektin (KOM). Kaedah ekstrusi telah digunakan dalam menghasilkan manik. Sel bebas La-05 telah dijadikan sebagai sampel kawalan. Trehalosa turut ditambah sebagai cryoprotectant Manik disalut dengan kitosan (CHI) dalam mono-lapisan. Penyalutan tambahan CGN dan LMP masing­masing telah dilakukan seterusnya untuk menghasilkan manik bersalut dwi-lapisan. Rawatan tersebut dikering sejuk bekukan dan dikaji dalam simulasi jus gastrousus. Sampel setelah dikering sejuk bekukan menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan (p> 0.05) dalam pengurangan kemandirian sel di antara kumpulan rawatan dan kawalan, kecuali manik KOM yang disaluti CHI (KOM-CHI). Dalam kajian SGJ, semua sampel dapat memberi perlindungan yang signifikan, (p < 0.05) kepada L. acidophilus berbanding dengan kawalan. Pengurangan kemandirian sel tersebut dalam lingkungan 0.38 hingga 1.15 log CFU/g. Namun, tiada perbezaan yang signifikan bagi kumpulan bahan manik dan juga salutan dalam perlindungan sel. Kajian seterusnya dalam SIJ menunjukkan semua rawatan mempunyai kemandirian sel yang lebih tinggi berbanding dengan sel bebas (p < 0.05), di mana tiada sel hidup dapat dikesan selepas pendedahan kawalan dalam SIJ. Penggunaan manik yang berasaskan KOM mempunyai pengurangan kadar kemandirian sel yang kurang berbanding dengan manik berasaskan CGN dan LMP dalam keadaan simulasi gastrousus. Secara keseluruhan, proses enkapsulasi dapat memberi perlindungan yang signifikan kepada Lactobacillus acidophilus La-05 dalam persekitaran simulasi gastrousus, manakala tiada perbezaan yang nyata dapat ditemui di antara salutan. Pemilihan hidrokoloid dalam menghasilkan manik lebih penting daripada penambahan salutan pada manik dalam memelihara kemandirian probiotik.
Language: Malay
Subfield: Food Science
Open Access status: green
OpenAlex ID: W7198280888
Cites: 149
Cited by:
Related to: 10