Verifikasi Makna dalam Falsafah Za'ba
Year: 2024
Type: article
Abstract: Verifikasi makna merupakan prinsip utama dalam menilai kandungan sesuatu ungkapan sama ada maknanya diterima atau ditolak. Dalam falsafah Arab-Islam dan falsafah Barat, prinsip ini telah ditekuni dengan serius, khususnya sejak permulaan pusingan linguistik pada awal abad ke-20. Dalam falsafah Melayu, meskipun verifikasi makna tidak ditekuni sepertimana dalam falsafah Arab-Islam dan falsafah Barat, namun kesedaran tentang kepentingannya, lebih-lebih dari segi konsep makna asal dan makna khas serta kaedah asas pembezaan makna telah ditunjukkan oleh Za‘ba. Makalah ini bertujuan untuk (1) menjelaskan konsep verifikasi makna dalam falsafah Za‘ba dan (2) menghuraikan kaedah verifikasi makna dalam falsafah beliau. Data konsep verifikasi makna melibatkan pemikiran Za‘ba (1919; 1980; 2009) dalam puisi bertajuk Kejatuhan Kaum Islam serta konsep salah dan benar dalam Falsafah Takdir dan Perangai Bergantung pada Diri Sendiri. Data kaedah asas verifikasi makna pula bersumberkan pemikiran Za‘ba (2000; 2002) tentang kecacatan makna dalam Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III dan perbezaan makna dalam Ilmu Mengarang Melayu. Melalui perbincangan, terdapat kesedaran dan tanggungjawab falsafi yang dilaksanakan oleh Za‘ba dalam meletakkan asas pembentukan verifikasi makna melalui konsep benar, salah, penuh makna dan sirna makna di samping mengemukakan cadangan konseptual berhubung dengan verifikasi makna. Beliau juga memperkenalkan kaedah verifikasi makna melalui prinsip menepati realiti dan prinsip pentaakulan kognitif.
DOI: 10.37052/jm.17(2)no7
Author: Munif Zarirruddin Fikri Nordin
Institution: Universiti Utara Malaysia
Language: Indonesian
Subfield: Literature and Literary Theory
Field: Arts and Humanities
Domain: Social Sciences
Open Access status: diamond
OpenAlex ID: W4401034604
