Rekonstruksi Struktur Sosial Krt Bagi Pengukuhan Tadbir Urus Kejiranan: Implikasi Terhadap Perancangan Dasar Malaysia
Year: 2026
Type: article
Study design: Observational Study
Abstract: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) merupakan institusi sosial akar umbi yang mempunyai liputan paling luas dalam rangka pembangunan perpaduan negara di Malaysia. Namun, perubahan gaya hidup moden, peningkatan stratifikasi sosioekonomi dan pemudaran norma kejiranan tradisional telah mengubah dinamika sosial komuniti setempat, sekali gus memberi kesan terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar kerajaan di peringkat akar umbi. Walaupun KRT sering dinilai sebagai pelantar pelaksanaan program perpaduan, analisis empirikal terhadap struktur sosial KRT sebagai asas keberkesanan dasar masih terhad. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan menilai struktur sosial KRT melalui tiga dimensi utama iaitu institusi sosial, stratifikasi sosial dan norma sosial bagi memahami implikasinya terhadap tadbir urus kejiranan dan perancangan dasar negara. Kajian ini menggunakan reka bentuk penyelidikan campuran yang melibatkan tinjauan nasional terhadap 4,264 responden daripada 32 KRT progresif di seluruh Malaysia, disokong oleh sesi perbincangan kumpulan berfokus bersama pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan. Dapatan kajian menunjukkan wujudnya ketidakseimbangan penyertaan komuniti yang dipengaruhi oleh perbezaan kedudukan ekonomi, kepekatan peranan kepimpinan dalam kelompok tertentu serta kemerosotan amalan sosial harian seperti budaya memberi salam, membantu jiran dan gotong royong. Keadaan ini mencerminkan tanda awal gejala anomi pada peringkat komuniti yang berpotensi melemahkan keberkesanan pelaksanaan dasar berasaskan penyertaan. Berdasarkan dapatan tersebut, kajian ini mengemukakan implikasi dasar yang konkrit, termasuk keperluan membangunkan sistem data sosial KRT di peringkat nasional, reka bentuk program yang disesuaikan dengan variasi lokaliti serta pengukuhan kepimpinan rentas generasi sebagai intervensi strategik. Secara keseluruhan, kajian ini menegaskan bahawa KRT merupakan infrastruktur sosial kritikal yang perlu diintegrasikan secara sistematik dalam perancangan dasar negara bagi memastikan pelaksanaan dasar perpaduan dan pembangunan sosial yang lebih inklusif, berasaskan bukti dan mampan.
Language: Malay
Subfield: Sociology and Political Science
Field: Social Sciences
Domain: Social Sciences
Open Access status: diamond
OpenAlex ID: W7149925007
