Year: 2019
Type: article
Abstract: Jenayah juvana masih kekal menjadi penyumbang kepada peningkatan indeks jenayah di Malaysia yang mana jika tidak dibendung boleh memberi kesan kepada pembangunan sosial, modal insan dan kesejahteraan negara. Ini terbukti dengan peningkatan kes jenayah juvana sebanyak 113%, iaitu daripada 5,125 kes pada tahun 2010 kepada 10,931 kes pada tahun 2014. Kertas kerja ini membincangkan faktor-faktor yang menyumbang kepada jenayah juvana daripada perspektif dan pengalaman sebenar juvana di dua buah sekolah di Melaka dan Kedah. Temubual separa berstruktur telah diadakan di sekolah tersebut antara bulan Oktober hingga Disember 2015, melibatkan 49 responden. Data temubual kemudiannya telah dianalisis menggunakan kaedah kualitatif. Dapatan kajian menunjukkan faktor-faktor seperti kekeluargaan, tahap ekonomi keluarga, kualiti hubungan kejiranan, persekitaran infrastruktur dan kemudahan ke kawasan kediaman, rakan, isu sekolah dan keciciran pelajaran, kurang penerapan spiritual, faktor teknologi maklumat/ gajet/ media sosial,dan faktor kendiri merupakan penyumbang utama jenayah juvana. Selari dengan dapatan kajian ini, beberapa program intervensi dicadangkan bagi mencegah dan memulih jenayah juvana berdasarkan tujuh falsafah program intervensi yang efektif iaitu pemantauan, pencegahan, disiplin, pembangunan kemahiran, program restoratif, kaunseling dan pembinaan hubungan. Program intervensi baru, yang masih belum diperkenalkan di Malaysia dan penambahbaikan program sedia ada dicadangkan dengan menitikberatkan elemen perkongsian tanggungjawab. Program intervensi ini dibahagikan kepada lapan kategori iaitu program untuk keluarga, pesalah juvana, komuniti, sekolah, fizikal dan infrastruktur, kepolisan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan program keadilan restoratif juvana. Program keadilan restoratif juvana merupakan program baru yang melibatkan penilaian semula polisi perundangan berkenaan dengan keadilan juvana di Malaysia dan selari dengan kehendak konvensyen mengenai hak kanak-kanak 1989.
Institution: University of Technology Malaysia
Language: English
Subfield: Sociology and Political Science
Field: Social Sciences
Domain: Social Sciences
Keywords: juvenile delinquency, causes of juvenile delinquency, family factors, neighborhood environment, peer influence, school problems, academic underachievement, spiritual values, self-control, restorative justice, crime prevention, intervention program, community responsibility, Malaysia, Malacca, Kedah, social development, human capital, national security, social welfare, police
Open Access status: diamond
OpenAlex ID: W7219984375
